LAMAN UTAMA

MENGINTAI CINTA KHALIFAH

Tajuk : Mengintai Cinta Khalifah
Penulis : A. Ubaidillah Alias
Terbitan : PTS Litera Sdn Bhd
m/s : 384

Sinopsis Belakang Buku :
Imran, remaja yang tercari-cari erti sebuah legasi demi memimpin cintanya menuju syurgawi. Dia cuba menyelami hakikat khalifah yang makin kabur. Dalam diam, jiwanya sentiasa memugar cinta Laila yang prejudis terhadap agamawan. Kerana cinta dia berusaha mengubah persepsi Laila. Namun, Laila tetap dengan pendiriannya. Ketika itu, hadirlah Nanda Gracer iaitu seorang Gadis asing yang mengheretnya ke dalam perdebatan antara kebenaran Islam dan kejahatan orientalis. Imran tekad menghadapi argumentasi itu dan merubah pandangan Nanda. Dalam diam, Nanda terpesona terhadap karisma dan kemantapan ilmu Imran. Dalam menggapai cinta Laila dan hambatan cinta Nanda, adakah Imran akan memperkukuhkan dirinya sebagai Khalifah Tuhan di muka bumi?

Ulasan :
Ini merupakan buku pertama tulisan A. Ubaidillah yang saya baca, dan buku ini jugalah buku pertama terbitan PTS. Pada awal cerita memang diselitkan ilmu yang sangat padat. Penulis memang ingin menyampaikan mesej apa sebenarnya seorang khalifah di sisi Islam. Pelbagai ilmu dan pengalaman yang diceritakan sepanjang Imran Jazimin (watak utama) menuntut di Universiti Al-Azhar setelah kehilangan kedua ibubapanya dan kemalangan yang menimpa dirinya.

Berbekalkan janji setia pada Laila di Malaysia, beliau merantau untuk mencari ilmu dan mencari makna khalifah yang sebenarnya sebelum membina mahligai bersama Laila. Namun kerana tiada berita dan khabar dari Imran, telah menyebabkan Laila memilih insan lain yang cuba merapatinya.

Imran akhirnya telah bangun dan menubuhkan perniagaan sendiri yang berlandaskan dakwah secara maya. Perkenalan dengan Salsabilah telah membuatkan beliau dapat melupakan Laila yang telah berkahwin. Imran telah mengambil langkah seperti yang dituntut dalam Islam dalam mendekati bakal isteri. Tanpa bertemu dengan Sal, beliau telah merisik keluarga Sal yang jauh di selatan. Dalam masa yang sama juga Laila menghadapi masalah dengan suaminya dan telah menjadi janda dalam usia yang muda. Ketika itu juga Imran diuji dengan kehadiran Nanda (bukan muslim) yang ingin mencabarnya berdebat tentang agama Islam. Nanda yang dihantar melalui satu misi, menggunakan pelbagai cara dan soalan untuk mencabar ilmu Imran.

Penyesalan Laila dan harapan ibubapa Salsabilah membuatkan Imran perlu bijak dalam membuat keputusan. Petunjuk demi petunjuk telah diberikanNya, namun siapakah yang akan dipilih oleh Imran? Siapakah pula yang dicintai oleh Salsabilah? Adakah Laila masih mengharapkan Imran setelah tidak jujur? Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapalah kita yang boleh menentukannya. Hanya doa yang mampu kita berikan sebagai harapan. Apa pula yang terjadi kepada Nanda dan pembantunya?

Saranan: buku ini mengandungi banyak ilmu agama yang mungkin anda sendiri tidak pernah tahu mengenainya. Penulis pasti membuat rujukan yang banyak di samping ilmu yang telah ada dalam dirinya. Saya percaya, pembaca akan menyukai 'ending' cerita ini seperti saya. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan koleksi dan rujukan untuk seorang muslim.

No comments:

Post a Comment