Buku Rekod Bacaan Progam NILAM SEHEBAT 2015
Monday, November 24, 2014
Saturday, November 22, 2014
Apakah Projek NILAM SEHEBAT?
Projek NILAM SEHEBAT
Projek NILAM SEHEBAT ialah satu program menarafkan semua pelajar SEHEBAT untuk menerima sekurang-kurangnya SIJIL GANGSA bagi Program NILAM (Nadi ILmu Amalan Membaca).
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah Buku | Pengiktirafan |
72 - 143
| Gangsa |
144 - 215
| Perak |
216 - 287
| Emas |
288 ke atas
| NILAM |
Apakah itu Program NILAM?
1. Apakah usaha-usaha yang dijalankan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggalakkan minat membaca dalam
kalangan murid-murid sekolah?
Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau
Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program
NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk
Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun
1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah
dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan
murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.
2. Apakah itu Program NILAM?
‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan
penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan
di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini
meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah
dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran
Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid.
Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang
ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun
Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah
dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian
Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei
1998.
Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina
melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina
budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang
berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan
membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut
masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian
Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan
membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.
4. Apakah matlamat Program NILAM?
Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat
membaca dalam kalangan murid.
5. Apakah objektif Program NILAM?
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif
dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini
6. Apakah komponen yang terdapat dalam
Program NILAM?
• Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap
kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat,
penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku
rekod.
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta
menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di
sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada
penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan
direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat
Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber
Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran
juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak
membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan
pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil
pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod
kemajuan murid dan sijil berhenti.
7. Apakah tahap yang terdapat dalam program
NILAM?
Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama
ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu
tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu
pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai
RAKAN PEMBACA (RP).
8. Apakah yang dimaksudkan dengan TAHAP
JAUHARI?
TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan
bacaan mereka dan ia dijalankan pada dua peringkat persekolahan :
a. Sekolah Rendah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku
sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam
Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti
berikut :
Jumlah Buku
|
Pengiktirafan
|
90 - 179
|
Gangsa
|
180 - 269
|
Perak
|
270 - 359
|
Emas
|
360 ke atas
|
NILAM
|
b. Sekolah Menengah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku
apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu
berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah Buku
|
Pengiktirafan
|
72 - 143
|
Gangsa
|
144 - 215
|
Perak
|
216 - 287
|
Emas
|
288 ke atas
|
NILAM
|
9. Apakah yang dimaksudkan dengan TAHAP RAKAN
PEMBACA?
Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek
kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid
layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid
membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun
aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan
mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan
pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian
umur murid seperti :
- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan
pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah aktiviti
|
Pengiktirafan
|
100 – 199
|
Gangsa
|
200– 299
|
Perak
|
300 – 399
|
Emas
|
400 ke atas
|
NILAM
|
10. Bilakah aktiviti Program NILAM boleh
dilaksanakan?
Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua
walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca
di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual
kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk
menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti
PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam
Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya
10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti
Bicara Buku dan menulis ulasan buku.
11. Bagaimanakah pencapaian program NILAM
selepas 10 tahun pelaksanaannya?
Melihat kepada statistik data yang dikumpul setiap
tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati penglibatan murid-murid
kian meningkat dengan statistik pada akhir 2010 menunjukkan penglibatan pelajar
sekolah rendah dalam Program NILAM Tahap Jauhari ialah 90.66%% berbanding
89.92% pada tahun 2009. Manakala, bagi sekolah menengah pula, jumlah pelajar
yang menyertai program NILAM di Tahap Jauhari ialah 87.11% berbanding dengan
penglibatan 85.25% pada tahun 2009. Berdasarkan data yang dikumpul pada tahun
2010, purata kadar pembacaan murid adalah 20 buah buku setahun bagi sekolah
rendah dan 10 buah buku setahun bagi sekolah menengah.
Namun begitu, usaha kita tidak akan berhenti
setakat ini sahaja dalam membentuk budaya membaca dalam kalangan murid-murid.
Kita bertekad untuk mencapai sasaran kita iaitu penglibatan 100% murid dalam
Program NILAM bagi mencapai kadar literasi dan numerasi yang disasarkan dalam
NKRA pendidikan serta menyokong Teras1, Membina negara bangsa melalui
memperkasa bahasa kebangsaan dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di
luar lingkungan persekolahan.
12. Apakah strategi yang dilakukan oleh KPM
amnya dan BTP khususnya untuk mencapai objektif 100% penglibatan murid dalam
Program NILAM ini?
Walaupun cita-cita kita untuk mencapai penglibatan
100% murid masih belum tercapai namun usaha-usaha giat dijalankan oleh
rakan-rakan kita dalam rangkaian BTP di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri,
Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan juga Pusat Kegiatan Guru. Kita juga
mendapat kerjasama yang baik daripada semua rakan-rakan bahagian KPM yang lain
serta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka
program-program galakan membaca. Sebagai contoh, kita juga melaksanakan
beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program NILAM ini. Antaranya
ialah aktiviti Kem Membaca 1 Malaysia, Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak
Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku dan juga pameran-pameran buku
yang juga mendapat sokongan dari Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM),
Perpustakaan Negara Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia serta Dewan
Bahasa dan Pustaka serta rakan perkongsian pintar agensi luar seperti
Scholastic Malaysia, Microsoft Sdn. Bhd, Sasbadi Sdn. Bhd., RHB dan juga dari
IPTA serta IPTS.
Selain daripada itu, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program NILAM sewaktu pemantauan ke
sekolah-sekolah. Secara tidak langsung ini menunjukkan penegasan KPM mengenai
peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir sekolah perlu
memberi kerjasama dan perhatian dalam merangka, mengurus, melaksana dan
memantau program-program galakan membaca yang dirancang oleh Guru Perpustakaan
& Media (GPM).
13. Apakah contoh-contoh aktiviti yang boleh
dilaksanakan dalam Program NILAM?
• Projek Pukal - Setiap kelas dibekalkan 50-100
naskah buku dan pelajar dibenarkan meminjam buku setiap hari sebanyak mana
mampu.
• Bicara Buku - Murid digalakkan membaca sebuah
buku dan berhimpun untuk membincangkan secara kritis tentang isu-isu dan
persoalan yang timbul dalam buku tersebut.
• Anotasi buku - Murid digalakkan untuk banyak
membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku rekod.
Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh mendapat
markah Rakan Pembaca untuk aktiviti ini.
• Bercerita - Murid terutamanya murid sekolah
rendah digalakkan untuk bercerita tentang cerita dari buku-buku yang pernah
dibaca.
• Jejak Maklumat - Murid dikehendaki mencari
jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan buku atau isi sesebuah buku yang
terdapat di Pusat Sumber Sekolah atau sumber bacaan di kawasan yang disediakan.
14. Kita dapati trend membaca murid-murid
sekarang telah berubah dengan berubahnya teknologi yang terhidang di hadapan
mereka. Adakah Program NILAM mengikuti trend ini?
Ada dua perkara yang perlu dimaklumkan bila kita
bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang pertama ialah
jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian yang dibuat oleh Bahagian
Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca buku-buku yang
berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai dengan usia dan
persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah,
murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan remaja,
hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang menarik dengan teks yang mudah
difahami.
Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang
bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku-buku perlulah mengambil kira
faktor-faktor ini dalam usaha membina koleksi di Pusat Sumber Sekolah. Di pihak
KPM, kita ada menyediakan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah bagi
menjadi panduan kepada sekolah-sekolah dalam pembelian bahan-bahan bacaan di
pusat sumber. Senarai ini merupakan senarai bahan bacaan yang dikemukakan oleh
penerbit dan pembekal buku dan telah melalui proses penilaian. Langkah ini
diambil bagi memastikan hanya bahan-bahan bacaan yang berkualiti saja yang
boleh dibekalkan ke sekolah.
Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam
kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend dan minat
murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat teknologi dan
ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program NILAM juga
sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada.
Dalam pelaksanaan Program NILAM kita meminta murid
membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod NILAM.
Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari
Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri.
Seiring dengan kepesatan teknologi, Program NILAM juga menggalakkan mereka
membaca buku-buku dalam bentuk digital yang boleh diperolehi dari Pusat Sumber
Digital, e-book dan juga CD/DVD. Malah mereka juga boleh memuat turun
bahan-bahan bacaan dari internet untuk mereka baca dan simpan sebagai koleksi
peribadi mereka. Sekarang ini sudah ada teknologi di mana buku-buku berbentuk
digital boleh ”membacakan” buku tersebut untuk kita dan boleh disimpan di dalam
pemain muzik MP3 dan juga iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin
memudahkan kita di zaman ini, tidak ada alasan lagi sebenarnya untuk kita
mengatakan bahawa kita tidak ada masa untuk membaca.
15. Adakah sebarang bentuk galakan berbentuk
pengiktirafan atau anugerah yang diberikan kepada murid-murid yang melibatkan
diri dalam Program NILAM?
Di peringkat sekolah, galakan yang berbentuk hadiah
dan sijil adalah sebahagian dari pengiktirafan dan ganjaran yang diberi. Di
kebanyakan sekolah, murid-murid yang melibatkan diri secara aktif dalam Program
NILAM akan diberikan ganjaran dan pengiktirafan mengikut kemampuan pihak
sekolah dan biasanya dijalankan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang. Pengiktirafan
diberikan mengikut jumlah buku yang dibaca oleh murid-murid.
Setiap negeri mempunyai satu program Anugerah Tokoh
NILAM Peringkat Negeri yang diurus setiakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan
Negeri dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing serta mengikut
prosedur penilaian yang diiktiraf di peringkat SIRIM. Di peringkat ini,
murid-murid yang melibatkan diri dengan aktif dalam Program NILAM akan dinilai
bukan sahaja dari segi bilangan buku yang dibaca tetapi juga kemahiran mereka
menjawab soalan-soalan penilaian yang dijalankan oleh hakim-hakim yang
dilantik. Pemenang di peringkat negeri akan dinobatkan sebagai Tokoh NILAM
Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan.
17. Bagaimanakah pemilihan Tokoh NILAM
Kebangsaan dilakukan?
Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan dilakukan
bersempena dengan Anugerah NILAM Kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak tahun
2003 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca
Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun yang sama. Calon-calon dari 4
kategori iaitu calon Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah
Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk memilih
pemenang mengikut kategori dan juga Tokoh NILAM Sekolah Rendah serta Tokoh
NILAM Sekolah Menengah di kalangan pemenang kategori tersebut.
Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan merupakan
pengiktirafan tertinggi KPM dalam usaha membina tabiat membaca dalam kalangan
murid selaras dengan hasrat negara melahirkan masyarakat bermaklumat dan
berpengetahuan menjelang 2020 apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Subscribe to:
Posts (Atom)